Thursday, October 1, 2009

Konsep LOVE - Penglihatan ( Visibility )

Pada kali ini saya akan sambung penulisan saya berkaitan Konsep LOVE iaitu V=Visibility atau Penglihatan. Sebelum saya menghuraikan apa yang di katakan penglihatan dalam pemanduan berhemat suka saya sentuh sikit mengenai Ops Sikap ke-20 yang bermula pada 13 Sept 2009 dan berakhir pada 27 Sept 2009 telah mengorbankan 261 orang.
Jumlah kematian yang dicatatkan itu bertambah berbanding Ops Sikap ke-19, yang diadakan sempena perayaan Aidilfitri tahun lepas iaitu sebanyak 208 kematian.Ops Sikap ke-20 ini diadakan bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri. Ia membabitkan kira-kira 2,000 penguatkuasa termasuk polis, bomba dan ambulans.

Apabila kita membaca dan menghayati laporan Ops Sikap ke-20 berbanding tahun sebelumnya meningkat seramai 53 kematian jalanraya. Satu jumlah yang besar juga. Namun segalanya berpunca daripada sikap pemandu kenderaan yg suka memandu laju, ego, sombong, menunjuk-nunjuk kehebatan kereta mereka, tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalanraya dan banyak lagi sikap negatif. Jika di senaraikan berjela-jela pun mungkin sekadar untuk perhiasan penulisan dan jarang ada keinsafan serta kesedarannya.

Di harap pada musim-musin perayaan pada tahun hadapan dan seterusnya tahun-tahun mendatang pemandu Malaysia mengubah sikap mereka dan pihak berkuasa menguatkan peraturan serta undang-undang jalanraya yang lebih ketat seterusnya dapat mengelak ataupun mengurangkan statistik kemalangan yang di paparkan tadi.


Penglihatan (Visibility) dalam bahasa mudahnya membawa pengertian komunikasi di antara pemandu dan pengguna jalanraya agar masing-masing melihat & di lihat semasa menggunakan jalanraya maupun lebuhraya.

Cara kita berkomunikasi adalah dengan menggunakan Hon, lampu, isyarat lampu dan tangan.
Saya ambil contoh apabila kita sedang memandu kereta dan sebelum hampir tiba di persimpangan kita melihat sebuah kereta di pandu dengan laju & kemungkinan pemandunya tidak berhenti di persimpangan. Jadi tindakan kita yang pertamanya kita kurangkan sikit kelajuan kereta dan nyalakan lampu besar/hon untuk memastikan pemandu tadi sedar kehadiran kita dan berhenti di persimpangan serta memberi laluan kepada kereta kita di laluan utama.

Kaedah yang di nyatakan kelihatan mudah dan senang di ikuti tetapi sesetengah atau ramai pemandu yang jarang atau tidak pernah mengamalkan "penglihatan" dalam pemanduan ini. Insya Allah jika kita semua dapat mengamalkan kaedah yang mudah ini dan senantiasa berhati-hati kemalangan dapat di hindarkan dan pemanduan kita menyeronokkan bukan pemanduan yang 'stress' atau tertekan.

Kita bersua lagi dalam Konsep LOVE - Laluan Selamat (Escape Route) dalam masa terdekat.Tq

Tuesday, September 8, 2009

Program Rakyat Malaysia Bersatu Untuk Keselamatan Jalan Raya (Mufors) 090909

Kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keselamatan di jalanraya, marilah kita bersama-sama menyatakan ikrar dan cadangan langkah-langkah keselamatan di jalan raya seterusnya secara tidak langsung membantu menyelamatkan nyawa orang ramai.
Di samping dapat menyumbangkan idea-idea kearah mengurangkan kemalangan jalan raya 24 jam sehar
i dan 7 hari seminggu terutamanya apabila memandu dan menggunakan jalanraya.

Anda boleh menyalurkan ikrar dan pandangan menerusi foto, video atau khidmat pesanan ringkas (SMS). Sila layari laman web: http://www.090909.org.my untuk menyatakan ikrar dan cadangan anda.


Tuesday, August 4, 2009

PERSOALAN MENGENAI LESEN MEMANDU ????



Anda ingin membuat sebarang pertanyaan dan penjelasan berkaitan lesen memandu, jangan malu dan segan bertanya. Sila kemukakan soalan anda dalam ruangan komen. Perkhidmatan ini percuma. Insya Allah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman lebih kurang 10 tahun dalam industri institut memandu saya akan bantu anda merungkaikan persoalan, kemusykilan dan penjelasan mengenai tajuk yang tertera sahaja. Terima Kasih.

Monday, July 13, 2009

KONSEP L.O.V.E.

Saya sambung kembali salah satu teknik pemanduan berhemat berkenaan konsep L.O.V.E yang telah diterangkan dalam tulisan sebelum ini iaitu L = Look Up Look Ahead atau Pandang Depan Pandang Jauh. Pada kali ini saya sambung pula kepada pengertian O= Observation atau pemerhatian.

Observation atau pemerhatian merangkumi beberapa perkara penting iaitu :-
1) Pemerhatian di persimpangan
2) Pemerhatian Di ekori dan Mengekori
3) Pemerhatian Membelok


Secara ringkasnya pemerhatian di persimpangan bermaksud apabila kita memandu sesebuah kenderaan tumpuan dan mata kita mesti fokus 100 peratus terhadap jalanraya dan pemanduan. Di mana sebelum tiba di persimpangan yang utama seperti persimpangan lampu isyarat, persimpangan sekolah dan seumpamanya, kita hendaklah menoleh 45 darjah sebelum sampai di persimpangan yang di lalui.

Kenapa ?. Tentu kita akan bertanya apa perlunya berbuat demikian. Jawapannya kerana mungkin ada kenderaan yang di pandu di persimpangan tidak berhenti dan tidak pernah menoleh kiri atau kanan semasa keluar persimpangan kerana kejahilan mereka dari segi risiko kemalangan yang mungkin berlaku.

Ramai pemandu yang berpengalaman maupun yang baru mengambil lesen kurang peka dan memandang ringan terhadap pemerhatian semasa mereka memandu. Selain daripada itu salah satu punca kemalangan maut berlaku di kawasan persimpangan. Saya ambil contoh satu kemalangan maut yang terjadi pada 7 Januari 2008 di Kilometer 53, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang Paloh Hinai di Pekan Pahang yang menyebabkan enam orang termasuk bakal pengantin terbunuh.

Kejadian berlaku apabila sebuah kereta dikatakan keluar mengejut dari simpang Paloh Hinai menghala ke Segamat dimana menyebabkan sebuah lagi kenderaan dari jalan utama tidak sempat membrek lalu melanggar kereta tersebut. Di mana kereta yang dirempuh dan dilanggar tadi melambung sebelum menghempap sebuah lagi kereta yang berada berdekatan tempat kejadian. ( Sila rujuk Akhbar Kosmo Selasa 8 Januari 2008 ).

Bayangkanlah jika kita berada dalam situasi sedemikian!!!! Tetapi jika kita sentiasa amalkan pemerhatian di persimpangan mungkin kemalangan maut dapat di elakkan.

Selain daripada itu, pemerhatian di ekori dan mengekori ialah kita menggunakan mata kita untuk melihat ke hadapan dan menggunakan ketiga-tiga cermin bantuan iaitu cermin sisi kiri dan kanan serta cermin pandang belakang untuk melihat ke belakang semasa memandu. Kita perlu memerhatikan cermin tadi apabila membelok, memasuki persimpangan, berhenti, masuk dan keluar daripada parking, mengundur dan semasa kenderaan di pandu di atas jalanraya. Jangan kita hanya tahu pandang ke depan saya dan tidak pernah menggunakan cermin semasa memandu!!!!.

Perkara ini amat merbahayakan nyawa kita dan pengguna jalanraya lain kerana mungkin apabila kita memberi lampu isyarat ke kanan untuk masuk persimpangan kanan, kenderaan di belakang mungkin menyedarinya dan mungkin juga ada yang tidak menyedari dan tahu tujuan isyarat lampu yang di beri tadi untuk masuk persimpangan.

Awas dan ingat !!!! kerana ramai yang memandu di atas jalanraya tidak mempunyai lesen memandu, tidak mempunyai lesen yang sah dan tidak mengamalkan ilmu pemanduan yang di pelajari. Sebagai seorang pemandu berhemat kita mesti berhati-hati pada setiap masa.

Pemerhatian yang ketiga ialah semasa membelok, kita hendaklah menggunakan kesemua cermin untuk melihat pemandangan dan kenderaan di belakang. Anda boleh amalkan sistem kawalan kenderaan (S.K.K) sebelum membelok iaitu memastikan lorong yang betul, melihat kesemua cermin, menyalakan lampu isyarat (signal), membrek perlahan-lahan, menukar gear sesuai, melihat cermin semula, kawalan stering yang betul dan seterusnya menekan pedal minyak selepas membelok.

Sistem S.K.K yang dinyatakan tadi juga anda boleh amalkan mengikut langkah-langkah yang di tulis apabila berada di persimpangan, hendak memotong, hendak berhenti dan situasi yang sesuai. Anda boleh meninggalkan turutan sistem yang tak perlu seperti hendak berhenti di persimpangan lampu isyarat dan ingin bergerak terus kehadapan tidak perlu memberi isyarat.

Akhir kalam di harap sedikit sebanyak info yang di beri dapat memberi pengetahuan dan manfaat untuk anda amalkan dalam pemanduan kita seharian. Kita jumpa lagi pada penulisan saya akan datang berkenaan pengertian V=Visibility atau Penglihatan dalam pemanduan berhemat.





Tuesday, June 2, 2009

Pemanduan Berhemat

I found this fascinating quote today:



Bersua kita kembali setelah sekian waktu saya tidak menulis dan melontarkan idea dalam blog ini. Di dalam dunia dan di Malaysia terdapat pelbagai teknik pemanduan berhemat telah direkacipta oleh pakar-pakar dan pengkaji pemanduan antaranya teknikmybloglog76b9e0786fb767f7c5d2, Pemanduan Berhemat, May 2009



You should read the whole article.

Wednesday, May 27, 2009

BUKAN SEKADAR CEKAP MEMANDU KENDERAAN !!!!!!


Bersua kita kembali setelah sekian waktu saya tidak menulis dan melontarkan idea dalam blog ini. Di dalam dunia dan di Malaysia terdapat pelbagai teknik pemanduan berhemat telah direkacipta oleh pakar-pakar dan pengkaji pemanduan antaranya teknik I.P.D.A (Identify, Predict, Decide, Action), D.A.D.A (Define, Analyse, Decide, Action), L.O.V.E (Look up look ahead, Observation, Visibility, Escape Route) dan banyak lagi teknik-teknik yang lain.

Namun objektif utama pemanduan berhemah ialah cara seseorang memandu untuk mengelakkan kemalangan atau kecelakaan walaupun kesalahan berpunca dari pemandu lain. Pengalaman saya kerap kali sesetengah pemandu apabila mengambil selekoh yang mempunyai dua atau tiga lorong mereka tidak memastikan kenderaan mereka di dalam lorong yang di lalui atau dalam bahasa yang mudah terbabas masuk lorong lain.

Perkara ini walaupun nampak tiada kesan tetapi cuba anda bayangkan kebetulan pada masa mengambil selekoh ada lori treler di sebelah kiri/kanan kenderaan tadi, jika termasuk laluan lain bermakna kenderaan yang di pandu tadi akan melanggar lori treler dan kemungkinan remuk di gilis oleh tayar lori berkenaan. Pemandunya ????, dari segi logik dan hukum alamnya sudah tentu tiada lagi dalam dunia ini. Mahukah perkara ini terjadi kepada anda? keluarga? jiran ? anak ? saudara mara? rakan? sahabat? dan seumpamanya.

Justeru itu, ilmu pemanduan berhemat amat penting di pelajari dan di amalkan tatkala pemandu berada di atas jalan raya. Kalau kita kaji dan hayati berita-berita kemalangan jalanraya samada yang cedera ringan, berat, mati dan maut semuanya terjadi kepada mereka yang mahir dan berpengalaman mengendalikan kenderaan dan mempunyai lesen berbelas atau berpuluh tahun tetapi kenapa berlaku juga?????.

Jawapan yang senang bagi kebanyakan kita kerana sudah suratan takdir. Benar tapi kita di beri akal untuk menerima dan memilih perkara yang baik dan buruk. Cuba fikir dan renungkan!!!!. Di sini saya ingin kongsikan salah satu teknik dalam pemanduan berhemat yang di namakan konsep L.O.V.E.

Saya huraikan secara ringkas apa yang di maksudkan dengan 'L' iaitu "Look Up Look Ahead" yang membawa erti 'Pandang Depan Pandang Jauh'. Di mana seseorang pemandu perlu mahir mengenalpasti halangan yang terdapat di hadapan mereka tatkala memandu.

Contohnya di hadapan kita melihat kawasan selekoh tajam. Jadi apa tindakan kita??. Sebagai seorang pemandu berilmu dan berhemah kita mesti mahir mengenalpasti halangan tersebut dengan menggunakan tiga petua iaitu 'See, Planning, Action' atau "Melihat, Merancang, Bertindak" terhadap halangan tadi.

Kebiasaannya mata manusia normal akan dapat melihat sesuatu objek dalam jarak 100 meter jauhnya. Oleh yang demikian jika melihat kawasan selekoh tajam, pemandu tadi mesti merancang adakah ia akan terus memecut laju atau memperlahankan keretanya sebelum tiba di selekoh.

Akhir sekali tindakannya samada menggunakan brek untuk memperlahan ataupun menekan pedal minyak untuk melajukan kenderaannya. Di sinilah seseorang pemandu berhemat mesti cekap mengawal kenderaannya dan cekap serta mahir membaca halangan bagi mengelakkan kejadian yang tidak di ingini.......

Saya harap sedikit sebanyak anda dapat ilmu pemanduan berhemat bagaimana untuk membaca halangan di hadapan menggunakan teknik 'Pandang Depan Pandang Jauh' (Look Up Look Ahead). Insya Allah saya akan sambung lagi pada kesempatan lain. Sekian.

Wednesday, May 6, 2009

Wednesday, March 18, 2009

Kemahiran Memandu

Terdapat segelintir pemegang lesen P atau CDL yang masih takut memandu dan tidak yakin pada diri mereka sendiri. Berdasarkan pengalaman saya antara puncanya kerana mereka takut jika di hon oleh pemandu lain dan kerana mengharapkan suami atau abang menghantar mereka kemana-mana lokasi seperti klinik, pasar, hospital, tempat kerja dan seumpamanya.

Perkara yang paling di takuti jika mereka mengendalikan kereta bergear manual ialah apabila berhenti di persimpangan, lampu isyarat, hendak membelok dan semasa hendak memulakan perjalanan. Kenapa ?. Kerana takut enjin mati !!!!. Pemandu baru atau mereka yang jarang memandu begitu "fobia" atau trauma jika enjin mati semasa dalam kesesakan lalulintas, di persimpangan, di tempat lampu isyarat dan seumpamanya.

Di sini satu petua yang anda boleh amalkan bagi mereka yang menggunakan kereta bergear manual iaitu apabila berhenti di persimpangan dan hendak mula bergerak, kita angkat 'clucth' (cekam) separuh atau terasa bergetar bonet hadapan sikit dan seterusnya tekan pedal minyak sedikit ( jika terdapat meter RPM atau tachometer pada dashboard lihat jarum pada no 2) dan seterusnya bergerak ke hadapan dengan melepaskan cekam secara perlahan-lahan. Ingat jangan sampai anda seperti orang naik kuda dalam kereta iaitu mereka yang tekan minyak tetapi kaki kiri menekan cekam ke bawah dan ke atas tanpa di lepaskan kerana mereka panik.

Untuk mendapatkan kemahiran ini anda perlu selalu praktis dan kerap memandu. Sematkan dalam minda teknik yang di pelajari dari jurulatih anda sehingga ia menjadi sebati dan secara automatik kaki anda melakukannya apabila memandu. Di samping itu, anda perlu ingat kedudukan gear dan pastikan jangan melihat gear apabila membuat pertukaran semasa mamandu. Perbuatan melihat gear akan membahayakan pemandu dan para pengguna jalanraya lain kerana mungkin akan menyebabkan kemalangan.

Anda boleh mendapat dan mempelajari semula kemahiran memandu dari jurulatih-jurulatih yang berpengalaman di sekolah memandu atau institut memandu yang berhampiran tempat tinggal jika lama tidak memandu.

Sebenarnya memandu merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan jika kita fikir secara positif. Di mana dengan adanya lesen memandu seseorang akan melakukan sesuatu urusan dengan mudah dan cepat.

Kemahiran memandu sebenarnya akan di perolehi jika kita selalu membuat latihan dan seterusnya kerap membuat pemanduan sendiri samada secara sendiri atau di temani oleh suami atau rakan-rakan.

Kita mesti ingat bahawa mungkin pada suatu hari nanti, jika suami tiada di rumah dan berlaku kecemasan seperti anak deman panas pada jam 3 atau 4 pagi!!!!! siapa yang hendak bawa ke klinik atau hospital jika tidak kita sendiri atau jiran ( jika jiran mempunyai kereta atau bersedia hendak menolong), tetapi ingat takkan pada setiap masa kita hendak meminta tolong dari jiran, mereka pun ada komitmen masing-masing.

Perkara utama yang mesti dan wajib di patuhi ialah peraturan dan undang-undang jalanraya dan sentiasa berhati-hati agar tidak berlaku kemalangan.

Insya Allah jika anda telah mempunyai lesen memandu dan berhati-hati, jaga jarak mengekori dan seumpamanya anda akan selamat pergi dan balik ke lokasi yang diingini dan tidak akan terlibat dengan kemalangan.

Perkara lain untuk menjadi pemandu yang cekap dan berhemah ialah anda mesti berani yakin dan percaya pada diri sendiri. Gunakan ilmu pemanduan yang di pelajari sebaik mungkin dan memandu dengan tenang dan seronok.



Sunday, March 8, 2009

PERATURAN MEMOTONG KENDERAAN

Saya sambung penulisan saya setelah menyepi buat seketika. Suka saya membicarakan mengenai peraturan memotong kenderaan. Sebelum saya menerangkan satu persatu peraturan tersebut seseorang pemandu mesti tahu kenapa perlu memotong kenderaan dalam situasi berikut :-
1) Kenderaan di hadapan bergerak terlalu perlahan seperti lori dan seumpamanya.
2) Kenderaan di hadapan ingin membelok.
3) Kenderaan di hadapan ingin memasuki persimpangan.
4) Kenderaan hadapan di pandu secara merbahaya ke kiri dan ke kanan ( Pemandu Mabuk ).

Manakala tempat-tempat yang di larang memotong perlu di ambil perhatian seperti :-
1) Kawasan selekoh, persimpangan.
2) Kawasan mendaki bukit.
3) Kawasan garisan berkembar.
4) Kawasan sekolah, perumahan, pasar tani, pasar malam atau kawasan sibuk.
5) Di dalam terowong.

Kalau kita perhatikan tatkala memandu di atas jalanraya, terdapat segelintir pemandu yang menunjuk-nunjuk kemahiran masing-masing tanpa memikirkan keselamatan mereka dan pengguna jalanraya lain dengan memotong di kawasan berbahaya seperti di selekoh, garisan berkembar dan seumpamanya yang di larang. Adakah mereka tidak tahu peraturan dan undang-undang jalanraya?. Adakah mereka tidak mempunyai lesen memandu ?. Adakah mereka kurang akal kerana tahu kawasan berkenaan amat merbahaya tetapi buat-buat tidak tahu?. Adakah mereka memotong di tempat-tempat merbahaya kerana kecewa dengan kenderaan di hadapan yang terlalu perlahan, lalu hilang kesabaran dan keselamatan di alpakan kerana mengikut nafsu dan sikap panas baran ?.

Ada satu lagi spesis pemandu yang akan memotong kenderaan di hadapan dengan laju tetapi selepas di potong mereka akan masuk persimpangan di hadapan yang jaraknya beberapa meter sahaja. Semua ini merupakan sikap para pemandu kita di Malaysia yang pelbagai ragam dan jenis, di mana mereka memandu untuk menunjukkan kecekapan kononnya, sombong, ego dan mementingkan diri sendiri. Kita sepatutnya sentiasa beringat bahawa kemalangan tidak berbau, boleh berlaku bila-bila masa di mana-mana jika kita tidak berwaspada.

Terdapat sepuluh peraturan memotong yang perlu di amalkan dan di hayati oleh setiap pemandu dan bakal pemandu di jalanraya bagi mengelakkan kemalangan semasa memotong atau di potong sebagaimana di bawah :-

  1. Berada di belakang kenderaan.
  2. Memeriksa dan melihat ke hadapan dalam 12 saat atau 100 meter.
  3. Memeriksa dan melihat ke belakang menggunakan cermin sisi kiri dan kanan serta cermin pandang belakang untuk memeriksa kawasan "Blindspot" atau terlindung daripada pandangan mata.
  4. Memberi isyarat ke kanan.
  5. Bergerak ke kanan.
  6. Melajukan kenderaan tetapi jangan melebihi had laju yang di tetapkan.
  7. Berkomunikasi menggunakan lampu atau hon.
  8. Memberi isyarat ke kiri.
  9. Bergerak ke masuk ke kiri dengan melihat cermin pandang belakang dan nampak depan kenderaan yang di potong terlebih dahulu sebelum bergerak masuk semula ke dalam laluan asal.
  10. Menyambung kelajuan dan meneruskan perjalanan.
Jika semua pemandu kenderaan memahami dan mengamalkan 10 (sepuluh) peraturan memotong ini nescaya kita Insya Allah akan terhindar daripada kemalangan semasa memotong dan di potong. Jadilah pemandu berhemat kerana ia mampu mengelakkan anda daripada kecelakaan dan kemalangan. Berhati-hati semasa memandu di jalanraya 24/7 iaitu 24 jam sehari dan 7 hari seminggu untuk keselamatan bersama setiap kali berada di atasnya. Di samping sentiasa sabar, bertolak ansur, bertimbang rasa dan berfikiran positif tatkala memandu kerana jalanraya di kongsi bersama kira-kira 15 juta kenderaan di Malaysia bukan untuk kita seorang. Jumpa lagi di lain tajuk.





Saturday, January 17, 2009

Sebagai Pemandu Berhemat

Saya sambung penulisan saya mengenai pemanduan berhemat. Setelah kita memahami dan mengerti mengenai konsep pemanduan berhemat iaitu cara kita memandu untuk mengelakkan kemalangan walaupun berpunca daripada kesalahan pengguna jalanraya lain.

Sebagai contoh katakan semasa kita memandu di jalanraya untuk ke tempat kerja, tiba-tiba ada sebuah motosikal dengan kelajuan yang tinggi memotong bas di hadapannya dan masuk jalan kita, sebagai seorang pemandu berhemah kita hendaklah memperlahankan kenderaan/kereta dan elak ke kiri jalan.Dengan demikian kita telah memberi ruang kepada penunggang motosikal tadi untuk bergerak ke hadapan tanpa berlaku sebarang kemalangan yang mengerikan.

Suka saya nyatakan di sini bahawa untuk menjadi seorang pemandu berhemah, kita bukan sahaja perlu mahir mengendalikan kenderaan seperti kereta, teksi, bas atau lori.

Seseorang itu perlu mempunyai tiga perkara atau elemen sebelum di gelar sebagai pemandu berhemah sebagaimana berikut :-

1) Pengetahuan (Knowledge)
2) Kemahiran (Skills)
3) Sikap (Attitude)

Ilmu Pengetahuan asas mengenai pemanduan berhemat telah di gubal dan di wajibkan oleh Kerajaan Malaysia untuk di ikuti tatkala seseorang ingin mengambil lesen memandu pada usia minimum 16 tahun untuk kelas motosikal dan 17 tahun untuk kereta. Di mana kita namakannya sebagai Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP). Antara kandungan yang di sampaikan dalam KPP ialah mengenai Panduan Peraturan Jalanraya, Konsep pemanduan berhemah, pengurusan ketegangan 'Stress Management" dan Undang-undang & Kesalahan Pemandu ( Merangkumi lesen memandu, kesalahan-kesalahan memandu dan hukuman-hukumannya di bawah akta pengangkutan jalan 1987 serta sistem kejara).

Selain daripada itu, ilmu pemanduan dari negara-negara lain di dunia boleh kita perolehi daripada laman web internet serta dengan mengikuti kursus-kursus 'advance' yang di anjurkan oleh beberapa syarikat pengangkutan dan institut memandu.

Manakala kemahiran pula, bakal-bakal pemandu yang memohon untuk mengambil lesen akan di ajar teknik-teknik memandu asas serta pemanduan berhemat daripada A hingga Z semasa mengikuti kursus dan latihan di institut memandu dan sekolah memandu. Seperti mengenali bagaimana melakukan pemeriksaan kenderaan secara harian, bulanan dan tahunan serta berkala, di samping bagaimana untuk menghidup dan mematikan kenderaan, perkara yang perlu di lakukan sebelum, semasa dan selepas memandu serta asas bagaimana untuk mendaki dan menuruni bukit, meletak kereta secara masuk belok, serta pusingan tiga penjuru.

Untuk memastikan pemandu yang akan memandu di atas jalanraya benar-benar berilmu, cekap dan kompeten mereka telah di uji dalam tiga bahagian iaitu bahagian 1 ujian teori berkomputer, bahagian 2 ujian 'Parking'
( mendaki dan menuruni bukit, meletak kereta secara masuk belok, serta pusingan tiga penjuru ) dan bahagian 3 ujian jalanraya.

Di samping ujian teori dan praktikal memandu, bakal-bakal pemandu juga telah di dedahkan dengan pengurusan tekanan (Stress Management) dan bagaimana mengetahui gejala-gejala tekanan dan cara menanganinya tatkala memandu serta di dedahkan agar mempunyai sikap positif, berhemah, berdisiplin, bertanggungjawab apabila berada di atas jalanraya.

Gabungan tiga perkara ini maka akan lahirlah sebagai seorang Pemandu yang berilmu, cekap, mematuhi peraturan & undang-undang jalanraya serta menghormati dan bertolak ansur terhadap pengguna jalanraya yang lain.

Pemandu berhemat akan sentiasa sabar, tidak mementingkan diri sendiri, bertimbangrasa serta sentiasa merancang perjalanannya. Akhir kalam, di harap sedikit sebanyak penerangan dalam blog ini dapat di kongsi bersama oleh para pembaca blog, kita jumpa lagi dalam masa terdekat.


Thursday, January 15, 2009

Pemanduan Berhemat

Salam,

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat datang dan salam perkenalan kerana melayari ke blog 'pemanduan berhemat'. Insya Allah, kita akan berkongsi bersama ilmu pemanduan berhemat berdasarkan ilmu yang diperolehi dan pengalaman saya dalam industri pemanduan atau institut memandu lebih kurang 10 tahun. Saban hari tatkala kita celik mata daripada tidur dan menonton berita di kaca tv atau mendengar berita dari corong-corong radio, melayari internet dan media massa yang lain, berita yang amat menyedihkan dan memilukan berlaku iaitu kemalangan maut di jalanraya.

Pada saat saya menyusun kata-kata menerusi wardah ini, saya telah membaca kisah kemalangan yang berlaku di kilometer 28, Lebuh Raya Karak menghala ke ibu kota semalam yang menyebabkan tiga orang maut. Kadang-kadang terfikir dalam benak kepala kita adakah kemalangan ini tidak dapat di elakkan? Kalau boleh di elakkan kenapa masih berlaku pada setiap hari ? Kita jangan hanya membaca mereka yang terlibat dalam kemalangan itu sahaja yang maut, tetapi cuba kita fikirkan tentang keluarga, majikan dan negara akan menderita akibat kemalangan tersebut.

Itulah persoalan yang mampu kita fikirkan. Dalam penulisan pertama saya ini, ingin saya bawakan kepada anda mengenai pengertian "Pemanduan Berhemat". Pemanduan berhemat membawa maksud pemanduan yang dapat mengelakkan dan menyelamatkan dari berlaku kemalangan. Di mana untuk menjadi pemandu berhemat seseorang pemandu mesti mempunyai tiga perkara asas iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang positif tatkala memegang steering kenderaan di atas jalanraya.

Di dalam pemanduan berhemah kita di ajarkan dengan teknik-teknik untuk mengelakkan kemalangan. Saya akan terangkan teknik-teknik tersebut di kesempatan yang akan datang.

Salam perkenalan untuk semua, Insya Allah saya akan menulis lagi mengenai ilmu pemanduan berhemah dari masa ke semasa.