Monday, July 13, 2009

KONSEP L.O.V.E.

Saya sambung kembali salah satu teknik pemanduan berhemat berkenaan konsep L.O.V.E yang telah diterangkan dalam tulisan sebelum ini iaitu L = Look Up Look Ahead atau Pandang Depan Pandang Jauh. Pada kali ini saya sambung pula kepada pengertian O= Observation atau pemerhatian.

Observation atau pemerhatian merangkumi beberapa perkara penting iaitu :-
1) Pemerhatian di persimpangan
2) Pemerhatian Di ekori dan Mengekori
3) Pemerhatian Membelok


Secara ringkasnya pemerhatian di persimpangan bermaksud apabila kita memandu sesebuah kenderaan tumpuan dan mata kita mesti fokus 100 peratus terhadap jalanraya dan pemanduan. Di mana sebelum tiba di persimpangan yang utama seperti persimpangan lampu isyarat, persimpangan sekolah dan seumpamanya, kita hendaklah menoleh 45 darjah sebelum sampai di persimpangan yang di lalui.

Kenapa ?. Tentu kita akan bertanya apa perlunya berbuat demikian. Jawapannya kerana mungkin ada kenderaan yang di pandu di persimpangan tidak berhenti dan tidak pernah menoleh kiri atau kanan semasa keluar persimpangan kerana kejahilan mereka dari segi risiko kemalangan yang mungkin berlaku.

Ramai pemandu yang berpengalaman maupun yang baru mengambil lesen kurang peka dan memandang ringan terhadap pemerhatian semasa mereka memandu. Selain daripada itu salah satu punca kemalangan maut berlaku di kawasan persimpangan. Saya ambil contoh satu kemalangan maut yang terjadi pada 7 Januari 2008 di Kilometer 53, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang Paloh Hinai di Pekan Pahang yang menyebabkan enam orang termasuk bakal pengantin terbunuh.

Kejadian berlaku apabila sebuah kereta dikatakan keluar mengejut dari simpang Paloh Hinai menghala ke Segamat dimana menyebabkan sebuah lagi kenderaan dari jalan utama tidak sempat membrek lalu melanggar kereta tersebut. Di mana kereta yang dirempuh dan dilanggar tadi melambung sebelum menghempap sebuah lagi kereta yang berada berdekatan tempat kejadian. ( Sila rujuk Akhbar Kosmo Selasa 8 Januari 2008 ).

Bayangkanlah jika kita berada dalam situasi sedemikian!!!! Tetapi jika kita sentiasa amalkan pemerhatian di persimpangan mungkin kemalangan maut dapat di elakkan.

Selain daripada itu, pemerhatian di ekori dan mengekori ialah kita menggunakan mata kita untuk melihat ke hadapan dan menggunakan ketiga-tiga cermin bantuan iaitu cermin sisi kiri dan kanan serta cermin pandang belakang untuk melihat ke belakang semasa memandu. Kita perlu memerhatikan cermin tadi apabila membelok, memasuki persimpangan, berhenti, masuk dan keluar daripada parking, mengundur dan semasa kenderaan di pandu di atas jalanraya. Jangan kita hanya tahu pandang ke depan saya dan tidak pernah menggunakan cermin semasa memandu!!!!.

Perkara ini amat merbahayakan nyawa kita dan pengguna jalanraya lain kerana mungkin apabila kita memberi lampu isyarat ke kanan untuk masuk persimpangan kanan, kenderaan di belakang mungkin menyedarinya dan mungkin juga ada yang tidak menyedari dan tahu tujuan isyarat lampu yang di beri tadi untuk masuk persimpangan.

Awas dan ingat !!!! kerana ramai yang memandu di atas jalanraya tidak mempunyai lesen memandu, tidak mempunyai lesen yang sah dan tidak mengamalkan ilmu pemanduan yang di pelajari. Sebagai seorang pemandu berhemat kita mesti berhati-hati pada setiap masa.

Pemerhatian yang ketiga ialah semasa membelok, kita hendaklah menggunakan kesemua cermin untuk melihat pemandangan dan kenderaan di belakang. Anda boleh amalkan sistem kawalan kenderaan (S.K.K) sebelum membelok iaitu memastikan lorong yang betul, melihat kesemua cermin, menyalakan lampu isyarat (signal), membrek perlahan-lahan, menukar gear sesuai, melihat cermin semula, kawalan stering yang betul dan seterusnya menekan pedal minyak selepas membelok.

Sistem S.K.K yang dinyatakan tadi juga anda boleh amalkan mengikut langkah-langkah yang di tulis apabila berada di persimpangan, hendak memotong, hendak berhenti dan situasi yang sesuai. Anda boleh meninggalkan turutan sistem yang tak perlu seperti hendak berhenti di persimpangan lampu isyarat dan ingin bergerak terus kehadapan tidak perlu memberi isyarat.

Akhir kalam di harap sedikit sebanyak info yang di beri dapat memberi pengetahuan dan manfaat untuk anda amalkan dalam pemanduan kita seharian. Kita jumpa lagi pada penulisan saya akan datang berkenaan pengertian V=Visibility atau Penglihatan dalam pemanduan berhemat.