Monday, October 31, 2016

Tips Bila Kecemasan kereta rosak, kemalangan, hilang kunci dan seumpamanya.

Terdapat berjuta pemandu kenderaan terutamanaya kereta akan memperbaharui insuran dan roadtax kereta pada setiap tahun. Tetapi masih ramai yang tidak tahu, kurang menyedari, tidak mengambil tahu tentang kegunaan insuran kenderaan yang kita beli selain daripada bertujuan membaharui roadtax.

Untuk pengetahuan pembaca dan pelawat budiman, sebenarnya selain untuk keluarkan roadtax, pihak insuran yang kita beli juga bertujuan untuk tuntutan kemalangan, cermin, towing kerosakan kereta, hilang kunci, dan seumpamanya. Sebenarnya semua pihak insuran menyediakan servis towing percuma dalam jarak tertentu.


Tentu ramai yang sering melihat kenderaan tersadai di tepi jalanraya, lebuhraya setelah kemalangan dan tidak ada orang yang menunda kenderaan tersebut ke bengkel-bengkel pilihan. Mungkin kerana ada yang beranggapan lori tunda perlu dibayar berates-ratus ringgit sedangkan sebenarnya ia adalah percuma untuk setiap kenderaan seperti kereta untuk ditunda dalam jarak tertentu yang ditetapkan. Jika melebihi jarak yang ditentukan anda perlu membayar kos lebihan. Namun kebiasaannya kadar tol perlu dibayar boleh pemandu kereta yang rosak.

Apa yang perlu anda lakukan untuk mendapat towing percuma ini?
  1. Pastikan anda menyimpan no telefon pihak insuran yang dibeli. Biasanya ada dalam cover note yang diberi.
  2. Jika berlaku kerosakan atau kemalangan jangan panik, sebagai contoh jika rosak ditengah-tengah lebuhraya, sila tolak ketepi ketempat yang selamat dan letakkan tanda segitiga amaran atau buka but/bonet belakang/depan dan nyalakan lampu kecemasan.
  3. Telefon pihak insuran yang kita ambil dan bagi butiran no kereta, nama pemilik kereta, tempat berlaku kerosakan, adakah kereta manual atau auto, kalau auto adakah gear boleh diletak pada N (Neutral) dan steering boleh dipusing dan kawasan kerosakan terbuka atau dalam bangunan. Kita boleh request untuk dapatkan towing yang diletak diatas lori jika perlu. dan tempat atau bengkel pilihan kita. Kalau tidak tahu bengkel mana boleh minta rujukan daripada towing bengkel yang dicadangkan.
  4. Biasanya dalam masa lebih kurang sejam pihak towing akan telefon kita untuk confirmkan lokasi. kita boleh bagi koordinat GPS kepada towing. 
  5. Setelah sampai pihak towing akan terus tarik keatas lori atau ditarik.
  6. Pihak operator insuran akan buat follow up dengan kita adakah dalam perjalanan ke bengkel dan sudah sampai.
  7. Setelah sampai, apabila operator insuran telefon kita, sila maklumkan bahawa kita sudah sampai ke bengkel yang dipilih dan ucapkan terima kasih.
Maka selesailah pengurusan Towing kereta secara percuma. Harap dapat memberi manfaat kepada pembaca sekalian.


Wednesday, June 8, 2016

Kemahiran Memandu Kereta Auto Bagi Pemegang Lesen P dan CDL (Penuh)

Pada kali ini saya akan sentuh mengenai kemahiran memandu kereta terutama kereta Auto. Masih ramai pemandu terutamanya kaum wanita yang memperolehi lesen memandu kereta di Malaysia samada baru dapat lesen Percubaan (P) maupun sudah bertukar ke lesen penuh (CDL) masih takut memandu di atas Jalanraya yang sibuk, memakir kereta dengan betul, melakukan Rutin Pemeriksaan Kenderaan (RPK) dan seumpamanya yang mereka telah pelajari semasa belajar memandu dahulu.

Ilmu pemanduan yang tidak di amalkan lama kelamaan akan hilang perlahan-lahan dalam ingatan kita kerana tidak memandu langsung atau jarang memandu setelah memperolehi lesen memandu yang sah.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri melatih atau mengajar semula kemahiran memandu, antara faktor yang menyebabkan mereka takut memandu adalah:-

1) Fobia dan trauma kerana pernah berlaku kemalangan kecil semasa memandu kereta sebelum ini seperti bergesel dengan kenderaan lain, melanggar depan rumah semasa hendak memakir dan lain-lain lagi seumpamanya.

2) Alasan yang biasa tiada kereta sendiri untuk di pandu, walhal sebenarnya banyak kereta sewa yang di tawarkan di kawasan sekitar kita jika kita ingin memandu.

3) Tidak memandu langsung setelah dapat lesen kerana suami tidak galakkan takut rosak, tercalar atau kemalangan. Jika anda mempunyai minda dan fikiran begini sampai bila-bila kita tidak mahir memandu.

4) Ibu bapa meletakkan syarat sendiri bila samapi umur tertentu contohnya cukup umur 21 tahun barulah boleh memandu kereta. Walhal undang-undang telah menyatakan untuk melayakkan memandu bila dah sampai umur 17 tahun dah boleh belajar memandu dan mengambil lesen memandu kereta.

5) Kurang keyakinan diri dan takut untuk memandu.

6) Banyak lagi alasan yang boleh anda fikirkan sendiri.......

Bagi anda yang mempunyai masalah di atas atau yang berkaitan sebenarnya kemahiran memandu boleh di gilap dan di pelajari semula daripada asas pengenalan gear, suasana sebenar memandu di atas jalanraya, memakir di tempat yang sebenar, teknik pemanduan selamat menggunakan konsep LOVE seperti mengenalpasti halangan di atas jalanraya semasa memandu dengan teknik SPA ( See, Planning dan Action)  dan pelbagai lagi kemahiran berkaitan. 

Ingatlah sebenarnya bila anda mahir memandu, pelbagai perkara boleh dilakukan seperti boleh ke Masjid, surau, Pasaraya, Balik Kampung, Hospital, Klinik, Tempat Kerja, makan angin dan banyak lagi kalau nak disenaraikan.

Jangan tunggu suami atau orang tersayang sakit dan tidak boleh memandu barulah rasa menyesal kerana tidak boleh memandu daripada dulu. Bayangkan kalau anda ada kecemasan pukul 2 atau 3 pagi, ada kereta tetapi tak boleh memandu ke hospital atau klinik tentu anda rasa kesal. 

Anda boleh hubungi/wasap/sms saya Cikgu Wan Mohd Azhan untuk maklumat lanjut tentang kemahiran memandu Auto ( Anda yang dah ada lesen memandu kereta) terutamanya yang tinggal sekitar Gombak dan kawasan sekitar yang berdekatan.




Monday, April 18, 2016

Gagal Ujian Amali JPJ.......

Kali ini saya menyenaraikan beberapa perkara yang memungkinkan calon gagal dalam ujian amali JPJ berdasarkan pemerhatian dan pengalaman terlibat sebagai Jurulatih memandu. Ini adalah sebagai perkongsian bersama agar anda yang sedang belajar memandu dan akan mengambil ujian mengambil iktibar untuk memperbaiki kemahiran masing-masing sebelum mengambil ujian amali.
1) Takut dan gementar untuk menghadapi ujian sampai tidak makan & minum.
2) Kurang keyakinan diri.
3) Persiapan yang ala kadar tidak mengulangkaji sebelum latihan atau ujian.
4) Tidak bersungguh-sungguh semasa latihan dan kerap mengulangi kesalahan yang sama berulangkali walaupun ditegur melebihi 3 kali.
5) Kurang memahami apa yang perlu dilakukan kerana cuba menghafal tetapi tidak cuba memahami dan memerhati dengan betul serta kurang fokus semasa sesi latihan.
6) Takut dan kurang menanyakan kemusyhkilan Cikgu/Jurulatih yang mengajar.
7) Tidak mengikut atau lupa tips-tips dan teknik yang di ajarkan oleh jurulatih.
8) Tidak berusaha untuk membiasakan diri dengan kenderaan yang dipandu sebelum memulakan ujian terutama keadaan clutch, brek dan minyak serta steering. Masa untuk penyesuaian dalam 1-2 minit sahaja.
9) Terkejut dengan orang ramai yang memerhati.
10) Takut dengan tester yang mengendalikan ujian.
11) Tidak dapat melakukan elemen-elemen ujian dengan sempurna seperti terlanggar benteng atau garisan sedangkan semasa latihan boleh melakukan dengan baik.
12) Suka menyalahkan pihak lain setelah gagal ujian seperti kereta yang tidak sama sedangkan kelemahan diri sendiri tidak diakui dan diperbaiki.
13) Tidak minat belajar memandu kerana dipaksa oleh ibubapa.
14) Tidak cuba memperbaiki diri apabila ditegur.

Ingatlah bahawa setiap individu tidak sama daya kefahaman dan kemahiran masing-masing walaupun jumlah jam latihan yang sama diberi. Jika jumlah jam latihan telah habis dan masih lagi tidak mahir jangan malu dan kedekut untuk buat latihan tambahan. Biasanya jika ada yang kurang penguasaan kemahiran Cikgu/Jurulatih akan nasihatkan untuk latihan tambahan jika perlu.Anda perlu kosongkan minda anda untuk diisi dengan ilmu yang baharu dan sentiasa positif dan berusaha memperbaiki diri dan kemahiran dari masa kesemasa.

Selain daripada perkara di atas, banyak lagi faktor-faktor lain yang anda sendiri boleh senaraikan. Di harap kepada bakal-bakal pemandu yang akan mengambil ujian berusaha untuk memahirkan diri dengan kemahiran pemanduan dan pengendalian kenderaan serta mengenalpasti halangan dengan baik semasa sesi latihan agar anda boleh lulus semasa ujian, Insya Allah.