Monday, April 18, 2016

Gagal Ujian Amali JPJ.......

Kali ini saya menyenaraikan beberapa perkara yang memungkinkan calon gagal dalam ujian amali JPJ berdasarkan pemerhatian dan pengalaman terlibat sebagai Jurulatih memandu. Ini adalah sebagai perkongsian bersama agar anda yang sedang belajar memandu dan akan mengambil ujian mengambil iktibar untuk memperbaiki kemahiran masing-masing sebelum mengambil ujian amali.
1) Takut dan gementar untuk menghadapi ujian sampai tidak makan & minum.
2) Kurang keyakinan diri.
3) Persiapan yang ala kadar tidak mengulangkaji sebelum latihan atau ujian.
4) Tidak bersungguh-sungguh semasa latihan dan kerap mengulangi kesalahan yang sama berulangkali walaupun ditegur melebihi 3 kali.
5) Kurang memahami apa yang perlu dilakukan kerana cuba menghafal tetapi tidak cuba memahami dan memerhati dengan betul serta kurang fokus semasa sesi latihan.
6) Takut dan kurang menanyakan kemusyhkilan Cikgu/Jurulatih yang mengajar.
7) Tidak mengikut atau lupa tips-tips dan teknik yang di ajarkan oleh jurulatih.
8) Tidak berusaha untuk membiasakan diri dengan kenderaan yang dipandu sebelum memulakan ujian terutama keadaan clutch, brek dan minyak serta steering. Masa untuk penyesuaian dalam 1-2 minit sahaja.
9) Terkejut dengan orang ramai yang memerhati.
10) Takut dengan tester yang mengendalikan ujian.
11) Tidak dapat melakukan elemen-elemen ujian dengan sempurna seperti terlanggar benteng atau garisan sedangkan semasa latihan boleh melakukan dengan baik.
12) Suka menyalahkan pihak lain setelah gagal ujian seperti kereta yang tidak sama sedangkan kelemahan diri sendiri tidak diakui dan diperbaiki.
13) Tidak minat belajar memandu kerana dipaksa oleh ibubapa.
14) Tidak cuba memperbaiki diri apabila ditegur.

Ingatlah bahawa setiap individu tidak sama daya kefahaman dan kemahiran masing-masing walaupun jumlah jam latihan yang sama diberi. Jika jumlah jam latihan telah habis dan masih lagi tidak mahir jangan malu dan kedekut untuk buat latihan tambahan. Biasanya jika ada yang kurang penguasaan kemahiran Cikgu/Jurulatih akan nasihatkan untuk latihan tambahan jika perlu.Anda perlu kosongkan minda anda untuk diisi dengan ilmu yang baharu dan sentiasa positif dan berusaha memperbaiki diri dan kemahiran dari masa kesemasa.

Selain daripada perkara di atas, banyak lagi faktor-faktor lain yang anda sendiri boleh senaraikan. Di harap kepada bakal-bakal pemandu yang akan mengambil ujian berusaha untuk memahirkan diri dengan kemahiran pemanduan dan pengendalian kenderaan serta mengenalpasti halangan dengan baik semasa sesi latihan agar anda boleh lulus semasa ujian, Insya Allah.