Monday, March 1, 2010

Sikap Dan Tanggungjawab Pemandu Terhadap Motokar Sekolah/Institut Memandu

Bersua kembali kita dalam blog pemanduan berhemat, pada kali ini saya ingin menulis mengenai sikap dan tanggungjawab para pemandu yang mempunyai lesen P maupun CDL (Penuh) terhadap motokar sekolah/institut memandu yang sedang mengajar atau di uji oleh Jurulatih atau Pegawai JPJ.

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sendiri semasa memberi latihan dan pengajaran kepada bakal-bakal pemandu baru, masih terdapat segelintir pemandu yang mungkin kurang pengetahuan atau tiada pengetahuan atau ada pengetahuan tapi hendak menunjuk kemahiran memandu atau memang kurang cerdik yang suka mengikut rapat atau membunyikan Hon terhadap 'kereta L' kerana tiba-tiba mati enjin atau brek mengejut terhadap halangan di hadapannya. Selain daripada itu ada juga pemandu yang kurang cerdik sedikit masih memotong lorong kanan walaupun kereta dihadapan telah memberikan isyarat secukupnya hendak memasuki persimpangan ke kanan. Inikah sikap segelintir rakyat kita semasa memandu di atas jalanraya yang di tunjukkan kepada bakal-bakal pemandu baru????.

Sepatutnya apabila kita sedang memandu dan mengekori kenderaan sekolah/institut memandu yang ada tanda L pada badan kenderaan, hendaklah kita berhati-hati dan menganggap kenderaan tersebut boleh membawa bahaya kepada kita. Di mana 'kenderaan L' tersebut sedang di pandu oleh seseorang yang tidak mahir, tidak cekap dan yang pentingnya baru hendak belajar memandu kenderaan. 

Pemandu lama seharusnya mengingati kembali nostalgia saat-saat mereka mula-mula belajar memandu dahulu sama juga terkial-kial pertama kali memandu kenderaan. Tiada manusia di atas muka bumi Allah Taala yang apabila lahir terus membawa kereta!!!!!. Kalau pemandu lama merasa mereka memandu kenderaan besar  seperti lori dan bas mereka pun merasa hebat dan kebal semasa memandu, di harap cuba insaf diri dan renungkan kembali akibatnya jika berlaku kemalangan atau kematian akibat keegoaan kita tidak menghormati pemandu baru yang sedang belajar.

Kalau tak dapat fikir juga apa yang saya coretkan di atas, cuba bayangkan bahawa mungkin anak cucu atau saudara kita kelak akan mengambil lesen memandu juga dan menghadapi situasi yang sama sebagaimana kita lakukan terhadap pemandu baru lain, tentu kita pun akan merasa marah dan tidak suka jika terkena batang hidung sendiri.

Berikut adalah beberapa situasi yang kemungkinan besar terjadi apabila seseorang yang sedang belajar memandu membawa kenderaan atau kereta sekolah/institut memandu di atas jalanraya:-

1) Kereta di pandu perlahan kebiasaannya di bawah 60 km/j.
2) Kereta di pandu tidak stabil kawalan steering iaitu ke tepi dan ke tengah jalan.
3) Kereta mungkin terhenti secara mengejut di tengah-tengah jalan.
4) Kereta mungkin tiba-tiba di pandu laju kerana terkejut.
5) Kereta tiba-tiba memasuki lorong sebelah.

Seharus dan sebetulnya sebagai pemandu kenderaan yang bijak dan cerdik, kita hendaklah mengambil dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya apabila berhadapan dengan pemandu yang sedang belajar atau di uji tersebut, sebagaimana berikut:-

1) Pastikan jarak mengekori yang selamat iaitu dengan mengamalkan peraturan 2 saat tidak terlalu rapat.
2) Jangan membunyikan hon atau menunjukkan tanda amaran/lucah jika kereta di pandu perlahan. Kita seharusnya memastikan hadapan selamat dan memotong kereta yang perlahan dengan tenang dan hormat.
3) Tanamkan sikap sabar, bertolak ansur dan menghormati pemandu lain kerana kita pun menghadapi situasi yang sama sewaktu pertama kali belajar memandu dahulu.
4) Mematuhi peraturan dan undang-undang jalanraya yang sedia ada contohnya jika pemandu baru sekolah/institut memandu memberi isyarat hendak memasuki persimpangan ke kanan, kita boleh memotong dari sebelah kiri atau berhenti dahulu di belakang kereta tersebut.

Di harap apa yang di nukilkan sedikit sebanyak dapat di ambil pengajaran sebagai panduan kepada semua pemandu lama maupun bakal-bakal pemandu baru. Wassalam.TQ

Saturday, January 9, 2010

Konsep Love - Laluan Selamat (Escape Route)

Apa khabar & Selamat tahun baru 2010. Sudah agak lama saya tidak menulis dalam blog ini kerana agak sibuk sikit menguruskan aktiviti harian. Pada kali ini kita sambung pengertian E atau Escape Route (Laluan Selamat) dalam pemanduan berhemat.


Meskipun pada setiap hari kemalangan maut dan mengerikan berlaku di atas jalanraya, namun masih ramai pemandu yang tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada kejadian tersebut. Bila memandu sahaja di atas jalanraya ada segelintir pemandu yang kurang cerdik, tak waras, sakit mental, mengalami tekanan jiwa memandu dengan merbahaya dan suka mengekori terlampau atau terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan.

Apa yang saya hendak ceritakan dalam ruangan ini contoh laluan selamat ialah :-
1) Memastikan jarak mengekori menggunakan peraturan dua saat atau empat saat.
2) Memastikan keadaan di sekeliling kenderaan samada kiri, kanan, depan dan belakang selamat dari kenderaan lain yang di pandu bersebelahan samada semasa memotong atau di potong  atau  bergerak beriringan maupun kenderaan yang di ekori serta mengekori.
3) Memastikan pandangan mata kita sentiasa mengamalkan pandang depan pandang jauh atau 100 meter kehadapan atau 12 saat agar dapat mengenalpasti halangan awal. Contoh kita melihat ada kereta laju hendak masuk dari susur kiri ke lebuhraya maka dengan ilmu laluan selamat yang kita pelajari kita boleh menukar laluan ke lorong selamat yang tengah atau berhati-hati dengan memberi laluan kereta itu masuk dahulu untuk memastikan pemanduan lancar dan mengelakkan kemalangan.

Demikian contoh dan pengertian ringkas laluan selamat. Apapun dalam pemanduan kita seharian yang penting kita saling bertimbang rasa dan bertolak ansur antara para pengguna jalanraya agar dapat berhemah di atas jalanraya.Tq

Thursday, October 1, 2009

Konsep LOVE - Penglihatan ( Visibility )

Pada kali ini saya akan sambung penulisan saya berkaitan Konsep LOVE iaitu V=Visibility atau Penglihatan. Sebelum saya menghuraikan apa yang di katakan penglihatan dalam pemanduan berhemat suka saya sentuh sikit mengenai Ops Sikap ke-20 yang bermula pada 13 Sept 2009 dan berakhir pada 27 Sept 2009 telah mengorbankan 261 orang.
Jumlah kematian yang dicatatkan itu bertambah berbanding Ops Sikap ke-19, yang diadakan sempena perayaan Aidilfitri tahun lepas iaitu sebanyak 208 kematian.Ops Sikap ke-20 ini diadakan bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri. Ia membabitkan kira-kira 2,000 penguatkuasa termasuk polis, bomba dan ambulans.

Apabila kita membaca dan menghayati laporan Ops Sikap ke-20 berbanding tahun sebelumnya meningkat seramai 53 kematian jalanraya. Satu jumlah yang besar juga. Namun segalanya berpunca daripada sikap pemandu kenderaan yg suka memandu laju, ego, sombong, menunjuk-nunjuk kehebatan kereta mereka, tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalanraya dan banyak lagi sikap negatif. Jika di senaraikan berjela-jela pun mungkin sekadar untuk perhiasan penulisan dan jarang ada keinsafan serta kesedarannya.

Di harap pada musim-musin perayaan pada tahun hadapan dan seterusnya tahun-tahun mendatang pemandu Malaysia mengubah sikap mereka dan pihak berkuasa menguatkan peraturan serta undang-undang jalanraya yang lebih ketat seterusnya dapat mengelak ataupun mengurangkan statistik kemalangan yang di paparkan tadi.


Penglihatan (Visibility) dalam bahasa mudahnya membawa pengertian komunikasi di antara pemandu dan pengguna jalanraya agar masing-masing melihat & di lihat semasa menggunakan jalanraya maupun lebuhraya.

Cara kita berkomunikasi adalah dengan menggunakan Hon, lampu, isyarat lampu dan tangan.
Saya ambil contoh apabila kita sedang memandu kereta dan sebelum hampir tiba di persimpangan kita melihat sebuah kereta di pandu dengan laju & kemungkinan pemandunya tidak berhenti di persimpangan. Jadi tindakan kita yang pertamanya kita kurangkan sikit kelajuan kereta dan nyalakan lampu besar/hon untuk memastikan pemandu tadi sedar kehadiran kita dan berhenti di persimpangan serta memberi laluan kepada kereta kita di laluan utama.

Kaedah yang di nyatakan kelihatan mudah dan senang di ikuti tetapi sesetengah atau ramai pemandu yang jarang atau tidak pernah mengamalkan "penglihatan" dalam pemanduan ini. Insya Allah jika kita semua dapat mengamalkan kaedah yang mudah ini dan senantiasa berhati-hati kemalangan dapat di hindarkan dan pemanduan kita menyeronokkan bukan pemanduan yang 'stress' atau tertekan.

Kita bersua lagi dalam Konsep LOVE - Laluan Selamat (Escape Route) dalam masa terdekat.Tq

Tuesday, September 8, 2009

Program Rakyat Malaysia Bersatu Untuk Keselamatan Jalan Raya (Mufors) 090909

Kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keselamatan di jalanraya, marilah kita bersama-sama menyatakan ikrar dan cadangan langkah-langkah keselamatan di jalan raya seterusnya secara tidak langsung membantu menyelamatkan nyawa orang ramai.
Di samping dapat menyumbangkan idea-idea kearah mengurangkan kemalangan jalan raya 24 jam sehar
i dan 7 hari seminggu terutamanya apabila memandu dan menggunakan jalanraya.

Anda boleh menyalurkan ikrar dan pandangan menerusi foto, video atau khidmat pesanan ringkas (SMS). Sila layari laman web: http://www.090909.org.my untuk menyatakan ikrar dan cadangan anda.


Tuesday, August 4, 2009

PERSOALAN MENGENAI LESEN MEMANDU ????



Anda ingin membuat sebarang pertanyaan dan penjelasan berkaitan lesen memandu, jangan malu dan segan bertanya. Sila kemukakan soalan anda dalam ruangan komen. Perkhidmatan ini percuma. Insya Allah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman lebih kurang 10 tahun dalam industri institut memandu saya akan bantu anda merungkaikan persoalan, kemusykilan dan penjelasan mengenai tajuk yang tertera sahaja. Terima Kasih.

Monday, July 13, 2009

KONSEP L.O.V.E.

Saya sambung kembali salah satu teknik pemanduan berhemat berkenaan konsep L.O.V.E yang telah diterangkan dalam tulisan sebelum ini iaitu L = Look Up Look Ahead atau Pandang Depan Pandang Jauh. Pada kali ini saya sambung pula kepada pengertian O= Observation atau pemerhatian.

Observation atau pemerhatian merangkumi beberapa perkara penting iaitu :-
1) Pemerhatian di persimpangan
2) Pemerhatian Di ekori dan Mengekori
3) Pemerhatian Membelok


Secara ringkasnya pemerhatian di persimpangan bermaksud apabila kita memandu sesebuah kenderaan tumpuan dan mata kita mesti fokus 100 peratus terhadap jalanraya dan pemanduan. Di mana sebelum tiba di persimpangan yang utama seperti persimpangan lampu isyarat, persimpangan sekolah dan seumpamanya, kita hendaklah menoleh 45 darjah sebelum sampai di persimpangan yang di lalui.

Kenapa ?. Tentu kita akan bertanya apa perlunya berbuat demikian. Jawapannya kerana mungkin ada kenderaan yang di pandu di persimpangan tidak berhenti dan tidak pernah menoleh kiri atau kanan semasa keluar persimpangan kerana kejahilan mereka dari segi risiko kemalangan yang mungkin berlaku.

Ramai pemandu yang berpengalaman maupun yang baru mengambil lesen kurang peka dan memandang ringan terhadap pemerhatian semasa mereka memandu. Selain daripada itu salah satu punca kemalangan maut berlaku di kawasan persimpangan. Saya ambil contoh satu kemalangan maut yang terjadi pada 7 Januari 2008 di Kilometer 53, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang Paloh Hinai di Pekan Pahang yang menyebabkan enam orang termasuk bakal pengantin terbunuh.

Kejadian berlaku apabila sebuah kereta dikatakan keluar mengejut dari simpang Paloh Hinai menghala ke Segamat dimana menyebabkan sebuah lagi kenderaan dari jalan utama tidak sempat membrek lalu melanggar kereta tersebut. Di mana kereta yang dirempuh dan dilanggar tadi melambung sebelum menghempap sebuah lagi kereta yang berada berdekatan tempat kejadian. ( Sila rujuk Akhbar Kosmo Selasa 8 Januari 2008 ).

Bayangkanlah jika kita berada dalam situasi sedemikian!!!! Tetapi jika kita sentiasa amalkan pemerhatian di persimpangan mungkin kemalangan maut dapat di elakkan.

Selain daripada itu, pemerhatian di ekori dan mengekori ialah kita menggunakan mata kita untuk melihat ke hadapan dan menggunakan ketiga-tiga cermin bantuan iaitu cermin sisi kiri dan kanan serta cermin pandang belakang untuk melihat ke belakang semasa memandu. Kita perlu memerhatikan cermin tadi apabila membelok, memasuki persimpangan, berhenti, masuk dan keluar daripada parking, mengundur dan semasa kenderaan di pandu di atas jalanraya. Jangan kita hanya tahu pandang ke depan saya dan tidak pernah menggunakan cermin semasa memandu!!!!.

Perkara ini amat merbahayakan nyawa kita dan pengguna jalanraya lain kerana mungkin apabila kita memberi lampu isyarat ke kanan untuk masuk persimpangan kanan, kenderaan di belakang mungkin menyedarinya dan mungkin juga ada yang tidak menyedari dan tahu tujuan isyarat lampu yang di beri tadi untuk masuk persimpangan.

Awas dan ingat !!!! kerana ramai yang memandu di atas jalanraya tidak mempunyai lesen memandu, tidak mempunyai lesen yang sah dan tidak mengamalkan ilmu pemanduan yang di pelajari. Sebagai seorang pemandu berhemat kita mesti berhati-hati pada setiap masa.

Pemerhatian yang ketiga ialah semasa membelok, kita hendaklah menggunakan kesemua cermin untuk melihat pemandangan dan kenderaan di belakang. Anda boleh amalkan sistem kawalan kenderaan (S.K.K) sebelum membelok iaitu memastikan lorong yang betul, melihat kesemua cermin, menyalakan lampu isyarat (signal), membrek perlahan-lahan, menukar gear sesuai, melihat cermin semula, kawalan stering yang betul dan seterusnya menekan pedal minyak selepas membelok.

Sistem S.K.K yang dinyatakan tadi juga anda boleh amalkan mengikut langkah-langkah yang di tulis apabila berada di persimpangan, hendak memotong, hendak berhenti dan situasi yang sesuai. Anda boleh meninggalkan turutan sistem yang tak perlu seperti hendak berhenti di persimpangan lampu isyarat dan ingin bergerak terus kehadapan tidak perlu memberi isyarat.

Akhir kalam di harap sedikit sebanyak info yang di beri dapat memberi pengetahuan dan manfaat untuk anda amalkan dalam pemanduan kita seharian. Kita jumpa lagi pada penulisan saya akan datang berkenaan pengertian V=Visibility atau Penglihatan dalam pemanduan berhemat.





Tuesday, June 2, 2009

Pemanduan Berhemat

I found this fascinating quote today:



Bersua kita kembali setelah sekian waktu saya tidak menulis dan melontarkan idea dalam blog ini. Di dalam dunia dan di Malaysia terdapat pelbagai teknik pemanduan berhemat telah direkacipta oleh pakar-pakar dan pengkaji pemanduan antaranya teknikmybloglog76b9e0786fb767f7c5d2, Pemanduan Berhemat, May 2009



You should read the whole article.