Thursday, January 15, 2009

Pemanduan Berhemat

Salam,

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat datang dan salam perkenalan kerana melayari ke blog 'pemanduan berhemat'. Insya Allah, kita akan berkongsi bersama ilmu pemanduan berhemat berdasarkan ilmu yang diperolehi dan pengalaman saya dalam industri pemanduan atau institut memandu lebih kurang 10 tahun. Saban hari tatkala kita celik mata daripada tidur dan menonton berita di kaca tv atau mendengar berita dari corong-corong radio, melayari internet dan media massa yang lain, berita yang amat menyedihkan dan memilukan berlaku iaitu kemalangan maut di jalanraya.

Pada saat saya menyusun kata-kata menerusi wardah ini, saya telah membaca kisah kemalangan yang berlaku di kilometer 28, Lebuh Raya Karak menghala ke ibu kota semalam yang menyebabkan tiga orang maut. Kadang-kadang terfikir dalam benak kepala kita adakah kemalangan ini tidak dapat di elakkan? Kalau boleh di elakkan kenapa masih berlaku pada setiap hari ? Kita jangan hanya membaca mereka yang terlibat dalam kemalangan itu sahaja yang maut, tetapi cuba kita fikirkan tentang keluarga, majikan dan negara akan menderita akibat kemalangan tersebut.

Itulah persoalan yang mampu kita fikirkan. Dalam penulisan pertama saya ini, ingin saya bawakan kepada anda mengenai pengertian "Pemanduan Berhemat". Pemanduan berhemat membawa maksud pemanduan yang dapat mengelakkan dan menyelamatkan dari berlaku kemalangan. Di mana untuk menjadi pemandu berhemat seseorang pemandu mesti mempunyai tiga perkara asas iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang positif tatkala memegang steering kenderaan di atas jalanraya.

Di dalam pemanduan berhemah kita di ajarkan dengan teknik-teknik untuk mengelakkan kemalangan. Saya akan terangkan teknik-teknik tersebut di kesempatan yang akan datang.

Salam perkenalan untuk semua, Insya Allah saya akan menulis lagi mengenai ilmu pemanduan berhemah dari masa ke semasa.

No comments: